Kereta Mini Alec Issigonis

Pada penghujung tahun 1955, Issigonis dipanggil semula ke BMC dan dihantar ke kilang Austin di Longbridge oleh pengerusi syarikat Sir Leonard Lord. Issigonis diminta oleh Lord untuk mengusahakan 3 jenis kereta keluarga. Projek XC/9001 adalah untuk kereta keluarga saiz besar, XC/9002 adalah untuk kereta saiz sederhana sementara projek XC/9003 adalah untuk kereta kecil kegunaan dalam bandar. Issigonis menumpukan perhatian kepada rekaan projek XC/9001 dan XC/9002 sehinggalah beberapa prototaip sedia untuk ujian.

Berikutan pencatuan petrol yang dikenakan kesan daripada Krisis Suez dalam tahun 1956, Issigonis diarahkan oleh Lord untuk mempercepatkan binaan model kereta kecil XC/9003 untuk pengeluaran. Pada awal tahun 1957, projek ini diberikan nombor projek ADO15 untuk membolehkan ribuan lukisan-lukisan kejuruteraan dibuat. Oleh kerana kekangan masa, sistem suspensi yang digunakan untuk kereta Mini adalah dari jenis sistem kon getah yang direka oleh Alex Moulton.

Dalam bulan Ogos 1959, kereta ini dilancarkan pengeluarannya sebagai Morris Mini Minor dan Austin Se7en. Lambat laun kereta-kereta ini dipanggil Mini sahaja. Kereta Mini akhirnya menjadi kereta British paling laris jualannya, dengan pengeluaran melebihi 5.3 juta kenderaan. Rekaan kereta Mini membawa banyak pembaharuan, termasuk sistem pacuan roda hadapan, enjin melintang, kotak gear sump, roda 10 inci dan tahap efisien ruang yang paling tinggi. Kereta Mini menjadi ilham kepada banyak kereta-kereta kecil pacuan roda hadapan yang dibina sehingga ke hari ini.